Perkataan
hegemoni adalah berasal dari perkataan yunani iaitu hegeisthai yang bermaksud untuk memimpin (to lead).
Konsep ini banyak digunakan dan diterangkan oleh ahli sosiologi untuk memberi
penjelasan tentang usaha kuasa besar barat untuk menguasai dunia. Hegemoni
secara telusnya adalah merupakan satu pendominasian atau satu dasar monopoli
dari segi agama, ekonomi, politik, budaya, pendidikan, moral dan lain-lain ke
atas negara yang baru membangun oleh negara-negara di dalam kelompok kelas
atasan. Hegemoni boleh didefinisikan sebagai satu doktrin yang disuntik ke
dalam satu-satu masyarakat tanpa ancaman kekerasan sehinggakan idea-idea yang
ditekan oleh kelompok yang dominan itu menyerap dengan mudah sehingga mampu
dibudayakan oleh masyarakat yang didominasi. Nilai-nilai dan doktrin yang
disebarkan ini diperjuangkan oleh masyarakat kelas atasan sehingga pihak yang
dimonopoli tetap taat terhadap kepemimpinan kelompok penguasa.
Pelbagai pihak melihat hegemoni adalah
merupakan antara satu usaha atau strategi bagi mempertahankan penguasaan
terhadap satu-satu masyarakat mahupun penguasaan menyeluruh ke atas dunia.
Namun, pada zaman sekarang, penguasaan terhadap dunia lebih cenderung kepada
penguasaan berbentuk ketenteraan, terutamanya kepada negara-negara yang tidak
sehaluan dengan kuasa-kuasa besar ini. Keadaan ini bertambah buruk dengan
momokan dan suara-suara luar yang mengatakan negara-negara yang dikuasai oleh
agama Islam dikaitkan dengan isu keganasan, bahkan terdapat segelintir umat
Islam dikecam sebagai pengganas oleh pihak barat. Dalam kata lain, sasaran bagi
konspirasi mereka yang mengamalkan konsep hegemoni ini ialah umat Islam di
seluruh dunia.
Hemogenising
ataupun proses hegemoni
ialah satu proses di mana budaya dan tamadun disamaratakan oleh Barat dari
segala aspek dan pihak barat mempunyai pelbagai agenda dan program bagi
memastikan doktrin dan idea mereka ini berjaya dilaksanakan. Mereka menganggap
bahawa proses penyamarataan ini lebih berkesan melalui bidang ekonomi, system
pendidikan, sains, melalui teknologi, media dan budaya. Idea-idea yang disuntik
kepada masyarakat ini amat berbahaya dan dapat memusnahkan keaslian dan
kewibawaan elemen budaya dan tamadun tempatan. Antara tiga polisi terbesar yang
dilaksanakan oleh pihak barat ke atas masyarakat lain bagi mencapai hasrat
mereka bagi mengekalkan keunggulan sistem pertahanan ialah melalui dasar dan
perjanjian senjata yang ternyata berat sebelah. Selain itu, mereka juga rancak
mempromosikan hak asasi manusia dan demokrasai tetapi menggunakan konsep ala
barat. Pihak ini juga berupaya menjaga integriti Negara bangsa Barat dengan
cara menyekat kebanjiran imigran ke barat.
Selain itu, globalisasi pula merupakan satu
perkataan inggeris iaitu globalization yang
secara amnya bermaksud menyeluruh. Namun, secara khususnya perkataan ini
bermaksud dunia tanpa sempadan ataupun maklumat di hujung jari. Ini kerana
segala maklumat boleh kita perolehi secara pantas dan cepat samada dari segi
segala perbincangan serta transaksi niaga yang dilakukan. Dalam konteks
kemasyarakatan pula, globalisasi adalah merupakan peruntuhan
dinding yang memisahkan antara negara-negara tertentu sehingga dengan itu
mudah berlakunya pertukaran, pemindahan dan perkongsian dalam
pelbagai aspek seperti aspek pendidikan, pemikiran, ekonomi, kebudayaan, agama
dan banyak lagi.
Walaupun pada
asalnya ia bermaksud satu pertukaran, namun secara realitinya, melihat kepada
apa yang berlaku di zaman moden ini, globalisasi sebenarnya tidak wujud dalam
sistem atau bentuk dua hala seperti yang digembar-gemburkan oleh masyarakat
barat. Terdapat Negara yang bersifat memberi ilmu ataupun teknologi dan Negara
yang diglobalisasi lazimnya hanya menerima kedatangan ilmu yang diberikan ini tanpa menyedari
bahawa ia mungkin akan mendatangkan lebih banyak kemudaratan berbanding
manfaat. Globalisasi juga boleh didefinisikan sebagai satu usaha untuk mengubah
nilai manusia samada dari segi pemikiran dan tindakan yang dilakukan oleh satu
kelompok masyarakat kepada kelompok masyarakat yang lain. Satu agenda barat
iaitu global village telah
diuar-uarkan untuk memudahkan mereka menguasai Negara lain di dunia. Ia
sepertinya mengubah mentaliti rakyat kepada cara pemikiran barat yang
mengagungkan kuasa besar ini. Menurut Anthony Giddens, globalisasi boleh
didefinisikan sebagai “hubungan sosial serata dunia secara intensif yang mana
tindakan pihak tempatan ditentukan oleh peristiwa yang berlaku berbatu-batu
jauhnya dan juga perkara disebaliknya” (Giddens,A.2000).
Antara isu-isu
kontemporari yang diketengahkan dalam hegemoni dan globalisasi ini ialah media,
ekonomi, politik, sosial dan sebagainya. Media digunakan sebagai medium
penyebaran maklumat yang paling berkesan terutamanya dalam aspek pembangunan
tamadun bangsa. Revolusi teknologi yang semakin canggih memberi impak terhadap
peradaban manusia di dunia. Negara berkuasa besar telah berjaya mempelopori
penyebaran maklumat dan berita antarabangsa dan mereka juga mendatangkan
pengaruh yang besar dengan menguar-uarkan berita berdasarkan sudut pandangan
mereka sahaja. Pihak berkenaan juga mengecam Islam sebagai agama yang
mengamalkan keganasan dan perkara ini
boleh meggugat keamanan dunia serta umat Islam di serata dunia. Dari
aspek ekonomi pula, sistem ekonomi sosialis, komunis dan sebagainya mampu
menggugat keseimbangan sistem ekonomi lain yang diamalkan dan menyebabkan ianya
hampir pupus disebabkan pasaran bebas ini. Selain itu, politik juga memainkan
peranan yang besar dalam konsep hegemoni dan globalisasi. Penjajahan terhadap
Negara baru membangun menyebabkan ideologi pihak barat semakin berkembang
pesat. Ini menyebabkan nilai sosio-budaya dan struktur politik negara-negara
tersebut menerima impak yang besar. Pada masa sekarang, mereka terus menerus
memanipulasi politik dunia melalui pendekatan globalisasi. Terdapat banyak
isu-isu yang timbul di antara tamadun barat dan tamadun islam yang jelas menunjukkan
ketidakseimbangan dan ketidakadilan kepada kedua-dua tamadun ini.
Dengan
keberadaan hegemoni dan globalisasi oleh pihak barat ini, banyak kesan jangka
pendek mahupun kesan jangka panjang yang sudah boleh dilihat, dan bakal kita
perolehi pada masa akan datang. Antara aspek perubahan yang boleh kita
perhatikan ialah aspek ekonomi. Kita boleh perhatikan Negara-negara yang baru
membangun akan sentiasa memerlukan sokongan dan bergantung kepada Negara barat
sebagai tongkat kepada kemajuan mereka. Perkara ini berlaku disebabkan
kekurangan tenaga mahir serta kurangnya kepakaran dalam bidang teknologi.
Selain itu, perkara ini hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja, yakni pihak
barat dan ini menjadikan Negara-negara yang didominasi sukar untuk memperoleh
keuntungan dan menjadi faktor kepada kemiskinan rakyat dan merencatkan
pembangunan Negara.
Selain itu,
kesan hegemoni dan globalisasi kepada bidang politik pula ialah keadaan politik
menjadi tidak stabil disebabkan anasir-anasir luar yang menyuntik doktrin-doktrin
kotor ke dalam sesebuah masyarakat. Perkara ini boleh menyebabkan pentadbiran
Negara menjadi kucar-kacir. Sistem politik juga akan menjadi goyah akibat
suasana politik yang tidak telus dan system pentadbiran kotor yang pemimpin
jalankan. Keadaan ini boleh menyebabkan perbalahan antara kaum, dan lebih
memburukkan lagi keadaan, Negara menjadi pincang dan lemah. Negara-negara yang
dimanipulasi dan dipelopori akan sentiasa ditindas dan diberi layanan yang
tidak adil oleh kuasa besar. Rusuhan-rusuhan juga mudah berlaku di kalangan
masyarakat yang mana sistem politiknya terjejas dek kerana penerapan budaya
hegemoni dan globalisasi ini.
Dari segi
media pula, masyarakat Islam sentiasa dimomokkan dengan berita yang hanya
dilihat dari sudut pandangan pihak barat sahaja, dan ini menjadikan masyarakat
Islam diseluruh dunia menghadapi kesulitan untuk menonjolkan diri dari segi
kepakaran dan sebagainya kerana pihak media barat sering memburuk-burukkan umat
Islam dengan memberi gambaran bahawa umat Islam adalah pengganas, pemberontak
serta golongan yang sering menimbulkan kekecohan. Gelaran-gelaran seperti ini
akan menyebabkan Negara-negara luar yang lain akan memandang serong terhadap
bangsa islam dan perkara ini boleh menyebabkan ketegangan politik berlaku serta
mendapat tentangan hebat daripada Negara-negara tersebut. Dalam erti kata lain,
Hal ini boleh menyebabkan Negara-negara yang penduduknya majoriti beragama
Islam akan dipandang serong oleh Negara- Negara lain. Jika hubungan diplomatik
yang dibina itu terputus atau menghadapi masalah disebabkan hegemoni dan
globalisasi ini, ia mampu melumpuhkan hampir kesemua sistem termasuklah sistem
politik dan ekonomi Negara tersebut. Ekonomi sesebuah Negara adalah penting
bagi menggalakkan pembangunan dan kemajuan sesebuah Negara. Negara yang
sentiasa mundur dan tiada upaya untuk membangun akan lebih mudah ditindas oleh
kuasa beasr dan sesungguhnya, pihak barat dan Negara berkuasa besar yang lain
lebih senang menggunakan media sebagai medium untuk menguasai dunia.
Tamadun barat
mendatangkan kesan negatif dari aspek kebudayaan. Hiburan dari barat yang
membawa perubahan dari segi pemakaian dan sahsiah individu seakan-akan
didewakan oleh masyarakat dunia. Mereka menganggap artis-artis barat adalah
suatu contoh yang patut mereka ikuti. Jika yang diikut dan ditiru itu adalah
sesuatu yang baik dan bermanfaat kepada generasi sekarang, ia perlulah
dipraktikkan dalam diri setiap masyarakat, namun yang dilihat adalah
sebaliknya. Generasi muda khususnya meniru segala perbuatan artis-artis
tersebut tanpa menghiraukan pegangan agama, yang mana mereka mengambil enteng
mengenai solat, dan sistem pemakaian mereka juga berubah mengikut arus
kemodenan. Tidak dinafikan, kita perlu mengikut peredaran semasa untuk tidak
menampakkan diri yang konservatif, namun, ia tidak perlu dilakukan secara
ekstrem dan melanggar hukum agama. Hal ini menyebabkan mereka mudah terjerumus
ke lembah maksiat, merokok, minum arak, seks bebas dan sebagainya. Nilai moral
dalam diri mereka akan berkurang dan ini menyebabkan banyak kes berlaku seperti
kes pembuangan bayi, dan boleh kita perhatikan, jumlah penagih dadah semakin
meningkat terutamanya dalam kalangan remaja. Generasi baru merupakann tonggak
dan harapan bangsa, dan jika budaya ini menular di kalangan mereka, maka
punahlah harapan Negara untuk melahirkan pemimpin berwibawa yang bakal
menerajui kepimpinan Negara kelak. Justeru, semua pihak haruslah mengembleng
tenaga dan mengambil tindakan yang sepatutnya bagi membendung budaya ini
daripada terus menular dan menguasai seluruh dunia. Sifat dan nilai murni dalam
kalangan masyarakat pada zaman sekarang juga semakin luntur dengan pengaruh
kuat barat dan mereka lebih mementingkan hawa nafsu serta tidak mengikut
syariat yang ditetapkan.
Kebanyakan Negara
yang dikuasai oleh Negara Barat kehilangan kemampuan untuk memenuhi kebajikan
rakyat dari segi pakaian, bantuan makanan, pendidikaan kepada anak-anak muda
serta bantuan pemeriksaan kesihatan. Negara-negara yang dipimpin juga terpaksa
menanggung beban hutang di pundak mereka. Ini menjadikan kos sara hidup di
sesebuah Negara itu sangat tinggi sehingga mendatangkan kesan kepada rakyat.
Kesempitan yang dihadapi menyebabkan mereka kadangkala terpaksa menggadaikan
maruah serta melakukan pelbagai pekerjaan demi untuk meneruskan kelangsungan
hidup. Kaum wanita terpaksa bekerja membanting tulang dan menyempurnakan
tanggungjawab sebagai seorang ibu serta menguruskan keluarga. Perkara ini boleh
mendatangkan kesan kepada anak-anak mereka di mana anak-anak tidak akan
mendapat perhatian yang sewajarnya sehingga menyebabkan mereka terjebak ke
kancah kemaksiatan dan terlibat dalam pelbagai gejala sosial.
Akibat
daripada pengenalan tamadun barat pada masa kini, generasi muda kurang
menekankan adat dan budaya mereka sendiri dan ini menyebabkan penghormatan diri
mereka terjejas dan menjadi pincang. Kehidupan sosial mereka terjejas
disebabkan ketaksuban mereka mencari kemewahan hidup dan kesenangan dunia
semata-mata.
Dominasi
terhadap pemikiran manusia pula menyebabkan pembangunan manusia dan nilai murni
dalam diri mereka terbantut. Pendominasian dan manipulasi ke atas pemikiran
adalah sesuatu yang amat berbahaya di mana mereka menyuntik doktrin dan
idea-idea mereka dengan cara yang halus
dan mudah meresap ke atas pemikiran rakyat.
Secara
kesimpulannya, hegemoni dan globalisasi yang berlaku samada pada zaman dahulu
dan juga pada zaman sekarang, membawa pengaruh yang besar terhadap keseimbangan
sistem manusia di dunia tidak kira ianya adalah merupakan pengaruh positif
mahupun pengaruh negatif. Jika perkara ini dilihat dari sudut pandangan
positif, maka ianya akan mendatangkan lebih banyak kesan positif dan begitu
juga sebaliknya.
No comments:
Post a Comment